Rabu, Februari 19, 2014

Robohnya Surau Kami


Tiada siapa yang suka kegagalan, pengakhiran sedih atau pun sebuah kematian. Ya, kita tahu, kegagalan dan kematian ialah satu pusingan yang melahirkan sesuatu yang baharu. Itupun, jika kita dapat melihat sesuatu dalam kerangka yang lebih besar. Lalu, kita mengerti fungsi sebuah kegagalan dan juga fungsi sebuah kematian.

Surau kampung kami mula dirobohkan kerana surau baharu akan dibina di tempat yang sama. Pembaharuan ini ialah sesuatu yang amat diraikan, namun tidak dapat tidak, saya berasa sedih kerana surau ini betul-betul di sebelah rumah. Ia sebuah surau cuma. Tiada kelebihan yang luar biasa. Namun, barangkali ada jiwanya di situ. Jiwa itulah yang sedang direnggut keluar.

Saya terkenang zaman menjadi peguam syarie yang telah saya tinggalkan hampir 8 tahun yang lalu. Ketika di dalam mahkamah, saya paling tidak suka berada sewaktu pasangan mahu melafazkan talak. Saya rasa tertikam setiap kali suami melepaskan isterinya. Saya tahu ia tidak salah di sisi syarak. Saya faham bahawa jodoh mereka hanya sampai di situ. Namun, saya amat terkesan apabila lelaki melafazkan akad sewaktu menikahi isterinya kini melafazkan talak dari bibir yang sama.

Sebagai peguam, saya terus memakai wajah profesional. Seolah-olah tiada 'rasa'. Saya terkesan beberapa hari setiap kali kes permohonan cerai harus tamat dengan cara yang demikian. Ibarat terkena radiasi, saya harus 'kuarantin' jiwa dan perasaan supaya tidak dibawa oleh emosi.

Mungkin juga hal yang sama dirasakan oleh para doktor yang menghadapi pesakitnya, saat pesakitnya menghadapi kematian. Doktor juga manusia yang harus memakai wajah profesional pada setiap kali menghadapi kematian. Kematian ialah sesuatu yang wajib dilalui. Namun, kematian itu juga harus dilihat dalam kerangka yang lebih besar, bukan sesuatu yang individualistik.

Kematian Ahmad Ammar, misalnya, menjadikan almarhum ikon kepada anak-anak muda pada saat mereka mencari seorang suri teladan (role model). Hendak diharapkan pada Imam Muda, mungkin kerana sifatnya sebagai selebriti, saya kurang percaya kepada trend. Sifat trend amat bermusim dan tidak akan kukuh mengakar.

Saya memandang pokok belimbing di luar pagar. Buahnya sedang lebat walaupun sudah saya sedekah kepada ramai sahabat dan taulan, sudah diambil juga oleh jiran-jiran yang terasa mahu menggulai telur masak lemak dengan belimbing. Namun, masih banyak yang jatuh melecak-lecak. Pangkalnya penuh dengan belimbing gugur yang ranum lalu menjadi baja kepada pokok belimbing untuk terus menjadi pokok belimbing yang berbakti kepada sesiapa sahaja di sekelilingnya. Menjadi teduhan kepada sang unggas. Menyejukkan angin yang panas.

Kematian Ahmad Ammar telah 'menghidupkan' nama Ahmad Ammar. Kematiannya ibarat baja yang menyuburkan pohon perjuangan.

Kematian menjadi gapura kepada kehidupan yang lain. Ramai antara kita yang mahu masuk syurga tetapi enggan mati terlebih dahulu. Aneh sekali!

Terima kasih kepada surau lama yang sudah dirobohkan ini untuk memberi laluan kepada sebuah surau yang lebih baik, khabarnya. Semoga yang dibina kelak, bukanlah sekadar bentuk fizikal sebuah surau tetapi surau yang ada jiwa yang langsung dapat menarik minat anak-anak muda bagi memenuhkan saf pada waktu Subuh, khasnya.

Bukankah lelaki-lelaki yang hebat itu ialah mereka yang mampu menerjah kedinginan subuh, berjihad melawan nafsu sendiri dan berdiri membina saf-saf subuhnya?

Nota : Surau baharu ini dijangka siap menjelang Ramadhan tahun ini, insya-Allah.



Jumaat, Februari 14, 2014

Cerita Cinta Ahmad Ammar

Cerita Cinta Ahmad AmmarCerita Cinta Ahmad Ammar by Grup Penjejak Tamadun Dunia

My rating: 4 of 5 stars


Saya sengaja tidak menonton sebarang video yang viral atau catatan orang lain tentang Almarhum Ahmad Ammar sebelum saya menyentuh buku ini. Tujuannya, supaya saya tidak terpengaruh dengan bahan lain selain daripada buku ini sendiri. Biarlah saya dapat semua maklumatnya terus daripada buku ini untuk mengetahui latar belakang dan sejauh mana buku ini boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan medium yang lain.

Alhamdulillah, buku ini menghimpunkan catatan ibu, ayah, adik beradik, sahabat karib dan mereka yang mengenali Almarhum Ahmad Ammar sewaktu kecil dan sepanjang hayatnya yang singkat itu - 20 tahun sahaja! Secara keseluruhannya, ia merupakan percubaan yang baik dalam menghimpunkan kenangan terhadap insan yang istimewa, baik, dan tidak terkenal sewaktu hayatnya, kecuali dalam kalangan lingkungan persahabatan, ahli keluarga dan ahli pertubuhan yang disertainya. Semuanya menjadi viral dan mencetuskan 'fenomena' setelah pihak Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) menyediakan video yang pada asalnya untuk tontonan keluarga dan sahabat. Video hampir setengah jam itu kemudiannya menjadi pencetus yang menyebabkan nama "Ahmad Ammar" dikenali sehinggalah usaha-usaha dilakukan bagi menerbitkan buku ini.

Melalui warkah ibunya, pembaca dapat mengenali watak Ammar sewaktu kecil manakala ayahnya pula memang telah menyediakan ruang dan tapak supaya satu-satunya anak lelaki keluarga ini menjadi insan luar biasa apabila dewasa kelak. Paling terkesan ialah kedua-dua pasangan ini tidak menganggap anak-anak itu sebagai harta yang dimiliki tetapi anak-anak (khususnya dalam kes Ammar) ialah amanah untuk ummah. Konsep inilah yang menjadi Puan Nur Azlina dan Tuan Ahmad Adzam amat redha dengan pemergian Ahmad Ammar.

Melalui kaca mata sahabat-sahabatnya, pembaca akan mengenali Ahmad Ammar sewaktu bersekolah di SAMBEST, RMC dan seterusnya di Turki. Sebagai pelajar kedua terbaik RMC, sistem akan meletakkan beliau mengambil jurusan sains (perubatan, kejuruteraan dan bidang sains yang lain) tetapi keluarga dan Ammar sendiri bertekad untuk mendalami bidang Daulah Uthmaniah di Turki. Ammar juga membuat persediaan mempelajari Bahasa Turki sebelum berangkat ke sana. Hal ini memerlukan kekuatan yang bukan sedikit. Biasanya, pelajar terbaik akan didorong oleh semua pihak supaya mendalami bidang sains sahaja. Bidang-bidang sains sosial dan sastera tidak akan mendapat dokongan daripada mana-mana pihak. Pemilihan Universiti Marmara di Turki juga suatu lagi risiko yang telah diambil kira apabila Ammar mendaftar di sana. Universiti tersebut langsung tidak mendapat pengiktirafan di Malaysia. Namun, ayahnya dan Ammar sendiri tahu akan keputusan yang mereka ambil itu.

Selebihnya, ada beberapa bahagian yang telah disebutkan terlebih awal oleh sahabat yang lain, tetapi turut diulang juga. Ada yang boleh melihatnya sebagai pengukuhan kalau pun bukan sedikit kelewahan. Namun, penerbitan buku yang berwarna-warni boleh memotivasikan sesiapa sahaja, khususnya pelajar dan juga ibu bapa yang bakal mencorakkan kehidupan anak-anak. Ada beberapa model tarbiah dan tip-tip yang boleh digunakan.

Mungkin bukan semua orang boleh menjadi sehebat Ammar - insan biasa yang luar biasa. Namun, Ammar ialah suatu iktibar dan isyarat daripada Tuhan bahawa anak-anak muda usahlah mensia-siakan hidup mudanya. Ammar telah banyak mengisi dadanya dengan ilmu dan bukan perkara-perkara yang 'lagha'. Hidupnya cuma 20 tahun tetapi hidupnya telah memberi bekas kepada orang lain, ya, orang lain yang langsung tidak dikenali semasa hayatnya. Setiap orang perlulah mengambil posisi dakwah masing-masing kerana setiap seorang daripada umat Islam itu bertanggungjawab dalam misi dakwah dalam kapasiti yang tersendiri. Jika termampu, ambillah jalan yang pernah dirintis oleh Almarhum Ahmad Ammar. Jika tidak terdaya, lakukan sahaja dengan ikhlas tetapi dengan cara yang terbaik.

Almarhum pastinya istimewa kerana pengakhiran hidupnya yang amat istimewa - sebuah husnul khatimah : meninggal sewaktu dalam perjalanan hendak menyampaikan ilmu (kuliah pertama Risalah An-Nur), disembahyangkan oleh ratusan orang Turki, hatta yang langsung tidak mengenali beliau dan kemudian disemadikan di kawasan perkuburan Abu Ayyub Al-Ansari - sahabat Rasulllah yang turut dikebumikan di bumi Konstantinopel.

Banyak buah fikir dan iktibar yang boleh dipetik daripada buku ini. Ia membuatkan kita tertanya-tanya, apakah sumbangan kita pula kepada ummah dalam usia yang telah diberikan kepada kita?



View all my reviews



Sabtu, September 07, 2013

Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom & Dublin dalam Anugerah Buku PNM-RTM 2013

Salam hormat kepada semua peminat buku Kembara Sastera Nisah Haron : United Kingdom dan Dublin. Jika tuan/puan sangat menyukai buku ini berasa ia layak dicalonkan dalam Anugerah Buku PNM-RTM, saya mohon 5 minit daripada masa tuan/puan supaya dapat mengundi buku ini di laman yang disediakan di bawah.





Caranya mudah.

1. Layari laman ini: http://www.pnm.gov.my/anugerahbukupnm-rtm/pencalonan.php

2. Copy & paste maklumat ini pada borang tersebut:

Nama buku: Kembara Sastera Nisah Haron: United Kingdom & Dublin
Nama penulis: Nisah Haron
No. ISBN: 978-983-068-879-4

2. Isikan butiran nama buku, nama penulis, no. ISBN dan kemudian butiran peribadi anda yang mengundi. Ada hadiah misteri untuk pengundi bertuah.

Terima kasih atas sokongan tuan/puan. Setiap masa dan undi yang tuan/puan amat bermakna kepada saya. Tiada kata secantik bahasa untuk saya ungkapkan penghargaan itu. Hanya doa supaya Allah murahkan rezeki tuan/puan untuk mengembara jua. Amin!


Boleh juga klik pada imej borang di bawah untuk ke laman undian.



Sekiranya tuan/puan masih belum membaca buku ini, boleh pesan terus secara atas talian dari laman web Ujana Ilmu.

ikhlas daripada,


Selasa, Ogos 27, 2013

MENULIS DARI RUMAH : SUATU KERJAYA PROFESIONAL

Simposium Penulis Wanita Sarawak 2013
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak
24 Ogos 2013


MENULIS DARI RUMAH :
SUATU KERJAYA PROFESIONAL *
Oleh : Nisah Haji Haron **
(www.annyss.blogspot.com)

APABILA saya mengambil keputusan untuk menjadi pengarang sepenuh masa muncul pelbagai reaksi. Apatah lagi, saya telah memilih untuk meninggalkan profesion guaman yang dianggap sesetengah masyarakat sebagai berprestij, menguntungkan dan mempunyai masa depan yang amat menjanjikan. Keputusan untuk menjadi pengarang merupakan suatu pilihan dan saya tidak melakukannya atas dasar terpaksa ataupun mempunyai tanggapan yang negatif terhadap kerjaya sebagai peguam.

Saya berani untuk membuat keputusan ini kerana saya sungguh-sungguh percaya bahawa rezeki yang diperoleh ini bukan ditentukan oleh kerjaya yang dimiliki. Rezeki merupakan urusan Tuhan dan sebagai manusia kita boleh memilih dalam memvariasikan kerjaya. Ketika saya bergelar graduan undang-undang juga, saya percaya bahawa kerjaya harus dicipta dan bukannya sekadar menunggu dan mengharapkan kerjaya tertentu supaya nanti boleh memiliki rumah atau kenderaan besar serta dihormati masyarakat.

Semua itu boleh datang dalam apa-apa sahaja bentuk kerjaya yang menjadi pilihan. Asalkan tugas itu mendatangkan rezeki yang halal dan tidak menyalahi undang-undang. Oleh hal yang demikian, saya tinggalkan kerja guaman yang telah saya gulati selama lebih kurang lapan tahun kerana saya mencari kepuasan dalam kerjaya.

Menjadi pengarang sepenuh masa bukanlah sesuatu yang asing kerana saya telah menulis secara sambilan dan suka-suka sejak di bangku sekolah lagi. Pada ketika itu, saya dapati honorarium menjadi pengarang sambilan telah memberikan pulangan yang boleh dianggap besar sebagai pelajar sekolah. Bayangkan, honorarium menulis cerpen (pada tahun 1990) di dalam majalah Dewan Siswa ialah RM100. Wang tersebut boleh disimpan untuk kegunaan pada masa hadapan ataupun digunakan untuk membeli sesuatu yang bermanfaat.

Fahamilah, bahawa dalam dunia penerbitan, setiap suatu yang diterbitkan di majalah, akhbar ataupun diterbitkan di dalam bentuk buku, pengarangnya akan dibayar dengan jumlah-jumlah tertentu. Bayaran apabila karya diterbitkan di majalah ataupun akhbar dipanggil honorarium; sementara bayaran secara tahunan berdasarkan jumlah jualan buku dipanggil royalti.

Sejak daripada hasil penulisan saya yang pertama itu, saya terus menjadi pengarang sambilan dengan hanya menumpukan kepada penulisan cerpen. Saya fikir, jika saya turut menumpu di dalam bidang lain seperti esei dan puisi, pastinya saya dapat menambah wang saku lagi.

Untuk menjadi pengarang sepenuh masa, kita harus cuba menjadi pengarang versatil. Ertinya, pengarang yang boleh menulis hampir keseluruhan genre. Tidak mungkin cerpen kita akan dipilih pada setiap bulan ataupun 3 – 4 bulan sekali dalam majalah yang sama. Peluang harus diberikan kepada orang lain juga.
Oleh itu, pengarang ada pilihan, iaitu :
  • Menghantar karya kepada majalah atau akhbar lain yang boleh menerbitkan karya berikutnya
  • Menulis bidang yang lain seperti esei, rencana dan artikel, puisi, cerpen, skrip drama dan yang seumpamanya.
Dengan cara ini, pengarang akan dapat terus berkarya secara tekal serta dapat menulis secara selang-seli antara pelbagai bidang penulisan yang ada.

Walau bagaimanapun, sebelum memulakan tugas sebagai pengarang sama ada secara sambilan ataupun sepenuh masa, kita harus menguasai bidang tersebut terlebih dahulu. Aspek paling utama di dalam penulisan sama ada penulisan kreatif ataupun bukan kreatif ialah bahasa.

Bahasa merupakan alat kepada pengarang seperti mana warna, berus dan kanvas kepada pelukis. Tanpa penguasaan terhadap alat, sesiapa pun tidak mungkin menjadi ahli ataupun mahir di dalam bidangnya.
Seorang pengarang merupakan pembaca. Minat membaca haruslah tumbuh subur di dalam diri pengarang dan suka membaca seluas mungkin. Pengarang yang tidak suka membaca samalah seperti penebang pokok yang mempunyai kapak yang tumpul. Orang seperti itu tidak mungkin akan pergi lebih jauh di dalam bidang yang diceburinya.

Pengarang dan ulama tersohor Indonesia, HAMKA ataupun nama sebenarnya Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah ada menggariskan beberapa petua bagi menghasilkan karya yang baik:
  • Jelas dengan tujuan menulis menetapkan pendirian bagi mencapainya
  • Apabila sudah berniat untuk menulis, tulis segera dan usah bertangguh.
  • Membaca buku-buku orang lain supaya dapat memberi kekuatan untuk penulis
  • Sentiasa memperbaiki, menambah dan mengembangkan karya.
  • Usah tunggu sehingga menjadi penulis yang sempurna untuk mula menulis. Kesempurnaan akan datang secara berperingkat-peringkat.
  • Penulis mesti melangkaui zaman
  • Semangat yang turun dan naik di dalam penulisan bersifat sementara. Bergantung haraplah kepada Tuhan sebagai punca rezeki dan sumber ilham yang paling utama.
Pengarang sepenuh masa dapat bekerja di mana-mana tempat yang dianggap sesuai. Kebanyakan pengarang menggunakan konsep small office home office (SOHO) iaitu menggunakan rumah sebagai ruang bekerja.

Ada pengarang yang memerlukan bilik khusus, lengkap dengan perpustakaan mini dan capaian internet. Ada juga yang boleh bekerja hanya dengan sebuah komputer atau komputer riba (laptop) di ruang makan, ruang tamu ataupun di mana-mana sudut di dalam rumah. Kelebihan memiliki komputer riba pula, membolehkan pengarang memindahkan tempat menulis pada bila-bila masa yang perlu.

Secara peribadi, saya lebih selesa menulis di rumah. Namun, apabila ada keperluan untuk berpergian ke tempat lain, saya boleh membawa laptop dan menulis di hotel tempat saya menginap. Kini kebanyakan hotel sudah memiliki wireless dan memungkin saya untuk terus berhubung melalui internet. Menulis di perpustakaan awam juga amat kondusif sifatnya dengan pendingin hawa dan bahan rujukan di sekeliling.

Bayangkan, tanpa terikat dengan apa-apa ruang fizikal, aktiviti mengarang boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Kajian turut menunjukkan bahawa SOHO merupakan satu gaya hidup bagi menambahkan pendapatan dan tidak terikat di dalam sistem pejabat yang konvensional. Konsep dan keperluan SOHO berbeza dari satu individu kepada individu yang lain.

Pengarang yang bekerja dengan konsep SOHO juga tidak terikat dengan masa tertentu untuk menulis kerana waktu kerjanya begitu anjal. Pengarang boleh memilih untuk menulis pada waktu seperti sebelum subuh, waktu pagi, waktu petang ataupun dinihari mengikut kesesuaian pengarang.

Namun, memiliki masa yang fleksibel atau anjal boleh disalahgunakan oleh pengarang. Oleh yang demikian, pengarang harus mempunyai disiplin diri supaya dapat mengurus waktu dengan baik. Masyarakat juga adakalanya melihat bahawa sesiapa sahaja yang tidak berkerja di dalam pejabat yang konvensional ialah orang yang banyak masa. Pengarang harus bijak berdalih supaya memilih undangan ataupun pelawaan untuk keluar yang boleh mengambil waktu sebenar mengarang.

Hakikatnya, pengarang sendiri mestilah menghormati waktu kerjanya sendiri sebelum mengharapkan (atau menyalahkan) orang di sekelilingnya menghormati dan memahami jadual kerjanya. Terdapat beberapa kaedah untuk mendisiplinkan masa menulis, antaranya :
  • tutup laman sosial (Facebook, Twitter, WhatsApp, dll)

  • semak e-mel pada waktu lain (boleh disiplinkan supaya menyemak e-mel hanya setelah tugas selesai)
  • telefon bimbit diletakkan pada mod senyap. Telefon yang berbunyi menyebabkan kita cenderung untuk menjawab panggilan.
  • pesan pada sahabat-sahabat atau sebarkan hakikat bahawa jika telefon tidak berjawab, tinggalkan SMS (bukannya pesanan suara). Hanya mesej yang benar-benar penting akan dijawab pada waktu itu. Selagi boleh dibalas kemudian, tangguhkan. Tumpu kepada penulisan.
  • Sekiranya perlu menjawab telefon, jawab sambil berdiri. Menjawab sambil duduk akan menyebabkan kita berasa selesa dan akan terus berlama di talian. Mohon kepada pemanggil supaya hadkan waktu perbualan kerana anda ada tarikh akhir (deadline) yang tidak boleh ditangguhkan.
  • Berasa tegas dan cemburu dengan masa sendiri, biarpun orang lain akan mencemuh dengan mengatakan kita sombong, ‘macam bagus’ dan sebagainya. Hakikatnya, setiap jenis seni di dunia ini (menulis juga satu bentuk seni) akan terhasil dengan lebih baik sekiranya ditangani pada setiap hari. Bayangkan: jika kita sedang bekerja di dalam pejabat yang konvensional, pasti tidak ada yang akan marah, malah berasa malu dan akan memohon maaf, jika seseorang itu menelefon pada waktu bekerja.

Jadual Menulis

Setiap pengarang mempunyai jadual penulisannya yang tersendiri. Tidak ada waktu tetap kepada pengarang. Yang paling penting, terus berdisiplin untuk menulis mengikut waktu yang telah ditetapkan oleh pengarang itu sendiri. Bagi penulis yang baru mencuba untuk menjadi penulis sepenuh masa, jadual yang dilampirkan pada hujung kertas ini mungkin boleh membantu untuk mengatur waktu tersebut.

Calon penulis atau penulis baharu disyorkan supaya mencari masa yang minimum untuk menulis, misalnya, empat jam seminggu. Tempoh empat jam itu juga boleh dibahagikan kepada beberapa hari dan jam.

Contoh pembahagian masa menulis yang optimum dan berkualiti :

SASARAN MASA : 4  JAM SEMINGGU
SASARAN MASA SEKALI MENULIS (SETIAP SESI) : 30 MINIT
30 MINIT X 8 SESI = 240 MINIT (4 JAM)

Calon penulis mestilah menghormati waktu pada setiap sesi yang diperuntukkan itu. Mesti berada di tempat menulis dan menulis; atau melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan proses menulis. Hal itu mungkin sahaja menyunting, membaca pruf, merangka tulisan dan sebagainya. Ertinya, tempoh 30 minit itu mestilah dimanfaatkan sebaik-baiknya kerana kita belum tentu akan mendapat 30 minit yang seperti itu lagi. Tempoh 30 minit itu boleh jadi : 
  • 30 minit sebelum subuh (waktu yang paling tenang di sesetengah kawasan)
  • 30 minit antara waktu Maghrib ke Isya’
  • 30 minit sebelum waktu pejabat rasmi bermula (datang lebih awal ke pejabat
Malah, pilihan waktu yang sesuai itu terpulanglah kepada penulis itu sendiri. Gunakan Lampiran Latihan pada hujung kertas kerja ini untuk mengisi sendiri waktu yang paling sesuai untuk menulis. Jadual tersebut boleh menjadi gambaran visual dalam merangka kerja-kerja menulis. Asalkan, jangan terlalu ideal atau ambitious! Ertinya, usah bayangkan yang kita boleh menulis 7 jam seminggu secara tekal kerana belum tentu kita mampu mendapat 1 jam sehari sekiranya kita mempunyai tugas-tugas lain yang lebih mendesak. Analoginya mudah : dalam sehari semalam, Allah syariatkan supaya kita bersolat sebanyak 17 raka’at. Umat Islam bukanlah bersolat 17 raka’at sekali gus, sebaliknya dibahagikan mengikut tempoh dan kesesuaian: 2 rakaat sewaktu Subuh, 4 rakaat (Zohor dan Asar), 3 raka’at Maghrib dan 4 raka’at Isya’. Pembahagian yang demikian ada rasionalnya di sisi Tuhan. Demikian juga pembahagian masa menulis yang berbeza-beza kepada setiap penulis.

Bagi penulis yang sudah berumahtangga, cabarannya berbeza daripada penulis yang bujang. Pasangan kepada penulis perlu diberikan kefahaman bahawa pada ketika tertentu penulis tidak dapat diganggu sama sekali. Dalam hal ini, komunikasi antara pasangan amat penting. Ada beberapa tip yang boleh diusahakan bersama-sama, sebagai contoh :
  • Maklumkan bahawa, misalnya, malam ini penulis mahu menghabiskan manuskripnya. Jadi, suami mungkin boleh bantu tidurkan anak-anak sementara ibunya menulis.
  • Disiplinkan juga anak-anak supaya tidak terlalu bergantung kepada ibu. Malah, anak-anak boleh selesa dengan ibu mahu pun ayahnya. Latih anak-anak  yang lebih besar (jika ada) supaya membantu menguruskan adik-adik dalam hal-hal yang kecil seperti membancuh susu, mengambilkan makanan, atau bermain dengan adik-adik.
  • Sekiranya penulis (ibu) tidurkan anak (kecil) pada malam itu, ertinya ibu tidur lebih awal, ibu akan bangun awal untuk menulis. Suami akan menguruskan anak-anak pada sebelah pagi supaya ibu tidak diganggu kerja-kerja penulisannya.
  • Belajar menulis tanpa menutup pintu bilik. Ini dipanggil situational management. Pada peringkat awal, hal ini mungkin sukar bagi penulis yang sudah biasa menulis dalam keadaan senyap. Apabila sudah biasa, penulis boleh menulis walau keadaan sekelilingnya bising atau didatangi anak-anaknya beberapa kali.
  • Tidak terikat dengan tempat menulis atau alat. Ini bererti penulis boleh menulis hampir di mana-mana seperti di ruang tamu, di dapur atau di laman. Boleh menulis menggunakan komputer, komputer riba, tablet, juga pen dan kertas.
  • Masa menulis bukanlah sepanjang hari atau malam. Peruntukan masa yang berkualiti dengan keluarga terlebih dahulu sebelum menulis. Biasanya anak-anak akan ‘mengganggu’ ibunya yang menulis kerana mereka memerlukan perhatian. Berada sepanjang masa di dalam rumah bersama-sama anak-anak tidak semestinya ‘masa berkualiti’ itu sedang berlangsung. Lakukan aktiviti tertentu bersama-sama ahli keluarga. Lama kelamaan, mereka akan faham keperluan ibunya untuk berada di tempat lain.
Sokongan  yang paling afdhal kepada penulis wanita datangnya daripada suami dan anak-anak yang memahami tugas isteri/ibu yang menulis sebagai kerjayanya.

Bagi penulis wanita yang bujang, tidak semestinya anda perlu mencari pasangan yang menulis juga. Malah, ada beberapa pasangan penulis yang saya temui berpendapat, seorang daripada mereka terpaksa ‘berundur’ untuk memberi laluan kepada pasangannya. Biasanya yang berundur itu ialah pihak isteri. Misalnya, pasangan SN A. Samad Said – Salmi Manja, Dr. Othman Puteh – Timah Baba, Dr. Lim Swee Tin – Selina SF Lee. Calon suami penulis tidak semestinya mereka yang berada dalam bidang penulisan, penerbitan atau perbukuan. Perkara yang paling penting ialah berlaku komunikasi dua hala, saling memahami dan saling menghormati tugas pasangan.

Pendapatan Pengarang

Sebagai pengarang ada dua bentuk pendapatan yang akan diperoleh melalui bidang ini :
  • Pendapatan aktif
  • Pendapatan pasif
 Pendapatan aktif ertinya seseorang pengarang itu mendapat honorarium setiap kali karyanya tersiar di media cetak seperti majalah dan akhbar. Pendapatan ini bergantung kepada bentuk penulisan. Secara anggaran dan tertakluk kepada penerbit serta panjang karya, sebuah esei boleh dibayar antara RM100 – RM750; sebuah cerpen yang tersiar akan dibayar antara RM100 – RM300; puisi pula sekitar RM30 – RM200.




Pendapatan penulis skrip juga tidak kurang lumayannya dan mereka merupakan golongan yang agak tinggi bayaran honorariumnya tertakluk kepada medium. Penulis skrip radio boleh mendapat antara RM1,000 – RM2,000 untuk drama 40 minit hingga satu jam. Demikian juga kadar yang berbeza (malah lebih tinggi) bagi penulis skrip drama televisyen dan juga drama pentas. Bagi drama bersiri, penulis skrip akan dibayar antara RM500 – RM1,500 bagi drama 20 – 30 minit. Bagi telemovie ataupun cereka panjang sekitar 90 minit akan dibayar antara RM3,000 – RM5,00 bagi setiap skrip. Penulis skrip sitcom setengah jam boleh dibayar antara RM800 – RM1,000 setiap episod.

Penulis skrip untuk dokumentari juga akan dibayar sekitar RM800 – RM1,000 bagi setiap episod 30 minit. Jika ada kajian yang dilakukan oleh penulis sebelum menghasilkan skrip, bayaran tersebut akan dibayar secara berasingan. Ertinya, penulis akan mendapat imbuhan yang lebih.

Terdapat juga syarikat pengeluar (producer) swasta yang membayar lebih daripada kadar yang diberikan kepada penulis-penulis skrip. Ada yang membayarnya mengikut tahap kekuatan kepengarangan seseorang penulis. Penulis skrip yang terkenal tentunya akan dibayar lebih daripada penulis skrip yang menghantar skripnya untuk kali pertama.

Bagi pendapat pasif pula, seseorang pengarang itu yang telah menghasilkan novel ataupun buku akan mendapat royaltinya pada setiap kali bukunya dijual di pasaran. Selagi bukunya terjual, pengarang tersebut akan menerima bayarannya walaupun pengarang itu telah meninggal dunia. Undang-undang hak cipta di Malaysia menetapkan bahawa seorang pengarang yang telah meninggal dunia akan tetap mendapat royalti sehinggalah 50 tahun selepas kematiannya. Misalnya, jika pengarang itu meninggal pada tahun 2010 dan karyanya terbit pada tahun 2009; warisnya akan dapat royalti daripada karyanya sehinggalah pada tahun 2060.


Pengarang dan Kembara


Menulis dari rumah bukan bermakna kita mesti terus ‘terperangkap’ dan tidak boleh keluar dari kamar kerja. Kembara ialah sesuatu yang amat penting buat penulis. Kembara mampu merobah perspektif dan sudut pandang pengarang. Hal ini penting supaya aspek dan topik yang diangkat di dalam tulisan tidak akan berulang-ulang atau klise. Sekiranya kita tidak mampu untuk berbuat demikian, kaedah yang lain ialah membaca atau mendapatkan maklumat daripada pelbagai media termasuklah mendengar pengalaman orang lain.

Bagi yang pernah membaca tulisan saya Kembara Sastera Nisah Haron – United Kingdom & Dublin, ini bukanlah tulisan kembara saya yang pertama. Benar, ia buku kembara saya yang pertama tetapi sebelum ini saya telah banyak menulis dalam ruangan kembara di majalah-majalah seperti Dewan Budaya, Dewan Siswa dan Mingguan Wanita. Pengalaman-pengalaman kecil ini kemudiannya saya satukan menjadi suatu tulisan yang lebih lengkap.

Kembara ini juga tidak bermakna mesti pergi ke suatu tempat yang sangat jauh sehingga ke Alaska, Rusia, Kutub Utara atau Kutub Selatan. Cubalah kembara di dalam negara terlebih dahulu. Jika berasa yakin dan cukup persediaan, kembaralah seorang diri. Anda akan dapat rasakan suatu perasaan yang berbeza berbanding kembara bersama-sama ahli keluarga, kawan-kawan atau mengikut rombongan. Perasaan mandiri ketika kembara ini penting bagi pengarang untuk mencari dirinya sendiri. Bagi pengarang kreatif, mengembara bukan sekadar mencari latar baharu atau sekadar inspirasi. Mengembara menawarkan nikmat yang berbeza-beza kepada setiap pengarang.

Secara peribadi, saya menggunakan peluang apabila diundang untuk memberikan ceramah sama ada di Semenanjung Malaysia, mahupun di Sabah dan Sarawak. Biasanya, saya akan cuba mengambil satu waktu untuk melihat kawasan atau daerah yang belum pernah saya lawati. Memang benar, dengan kemajuan teknologi pada abad ini, kita tidak perlu menghadirkan diri secara fizikal ke banyak lokasi sebelum menulis tentang sesuatu tempat. Perkhidmatan Google Maps, misalnya telah menawarkan Google Street View, iaitu pengguna boleh melihat lokasi tempat-tempat tertentu secara panorama. Kemudahan ini amat membantu para penulis yang berhasrat melihat sesuatu tempat secara lebih dekat. Walau bagaimanapun, dengan mengembara secara fizikal, penulis boleh merasakan suasana dan tahap kemesraan penduduk yang tidak mungkin dapat digambarkan oleh teknologi. Begitu juga dengan dingin salji, teriknya matahari ketika musim panas di Timur Tengah atau paling mudah sekali bau sesuatu tempat, misalnya bau semua ladang bunga lavender atau sesuatu yang lebih tempatan, misalnya bau bunga yang khsusu seperti kesidang, melur, kenanga dan pandan tidak dapat dirakam oleh teknologi. Penulis mestilah turun ke lapangan untuk menikmatinya sendiri.

Lawatan ke Tenom (Sabah), Palembang (Sumatera Selatan) dan Shanghai (China) telah saya abadikan dalam novel Lentera Mustika. Pekan kecil Tenom juga saya jadikan judul cerpen : “Minta Secawan Kopi Tenom” (Dewan Siswa, April 2007) . Lawatan ke Paris saya tulis dalam Dewan Budaya Mac 2013 dengan judul “Di Sebalik Masjid Besar Paris”. Singgahan ke Singapura awal tahun ini juga saya tidak sia-siakan. Saya tulis tentang keunikan Perpustakaan Esplanade di Kota Singa itu dalam Dewan Budaya Mei 2013. Tidak ketinggalan, lawatan ke United Kingdom dan Dublin memberi saya ruang untuk menulis rencana pendek di dalam Dewan Siswa yang menawarkan untuk semua pengembara iaitu “Rakaman Pengembara”. Semua ini ialah peluang yang wajar dimanfaatkan penulis. 

Ramai yang mengembara tetapi penulis mengembara penuh dengan sensitiviti. Orang biasa mungkin bercuti hanya untuk berehat dan membeli belah. Penulis ke luar negara atau keluar dari daerah kebiasaannya untuk mencerap sesuatu yang baharu – sekurang-kurangnya sebagai modal dan bahan untuk karya-karya yang berikutnya. Secara peribadi, mengembara dan menulis tentang kembara itu ialah suatu cara untuk saya mendapatkan kembali wang yang telah dilaburkan dalam pengembaraan tersebut. Oleh itu, usah berasa ‘kehilangan’ wang sewaktu mengembara atau membeli buku dan majalah. Semua itu ialah modal untuk penulis.

Bagi yang tidak berpeluang mengembara atas sebab-sebab tertentu sama ada komitmen atau faktor kewangan, usah beralasan. Cari cara lain untuk mendapatkan pengalaman dan sudut pandangan yang berbeza daripada orang lain yang mungkin kaya dengan pengalaman hidup mahupun pengalaman mengembara. Mereka ini juga boleh menjadi sumber modal untuk kita menulis. Paling tidak, banyakkan membaca dan jadilah pembaca yang kritis dan mampu berfikir tentang isi kandungan yang dibaca. Penulis bukan sekadar memuntahkan kembali setiap tulisan yang dibaca. Penulis mestilah bijak mencerna dan mentafsir serta memberikan sesuatu yang segar kepada pembacanya.

Kesimpulan

Rumah ialah ‘padang permainan’ wanita. Definisi rumah di sini bukan semestinya 'rumah' secara fizikal. Ia bukan bermakna dapur, ruang tamu atau kamar tidur. Rumah itu boleh jadi di mana-mana sahaja. Rumah bermaksud tempat yang paling selesa.

Menulis dari rumah mampu menjadi kerjaya profesional untuk wanita. Mereka perlu diberikan ruang dan masa serta penghormatan untuk mencetus pemikiran selain menjana pendapatan aktif dan pasif untuk memberikan pulangan ekonomi kepada diri sendiri mahu pun keluarga. Menjadi penulis sepenuh masa, bukanlah bermakna menulis novel atau karya kreatif semata-mata. Terdapat banyak genre dan peluang penulisan yang harus diselongkar. Dalam banyak perkara pada zaman ini, penulis perlulah proaktif dan menggunakan kemudahan-kemudahan teknologi masa kini untuk menjaring peluang-peluang tersebut.

Dalam masa yang sama, penulis juga perlulah mempertajamkan minda supaya tulisan-tulisan yang dihasilkan segar, dalam dan menjadikan khazanah persuratan negara berkembang dengan sihat. Apabila sudah sampai pada suatu peringkat kelak, menulis bukan sekadar menjana pendapatan semata-mata.

Penulisan akan menjadi tanda aras kepada tahap ketamadunan bangsa. Penulis yang sejati akan tahu bahawa mendapat pulangan material hanyalah sebahagian daripada tujuan menulis. Mereka yang serius untuk tekal di dalam bidang ini akan menemui makna baharu dalam penulisannya. Karya-karya itu kelak akan terus hidup dan menjadi ‘suara’ kepada pemikiran yang ditinggalkan. Itulah yang ditinggalkan oleh Pak Sako, Keris Mas, Hamka, dan Masuri S.N.  Kita juga harus berbangga apabila nama-nama seperti Siti Zainon Ismail, Zaharah Nawawi, Fatimah Busu, Mahaya Mohd Yassin, Zurinah Hassan dan Adibah Amin terus mekar kerana wanita-wanita ini tidak berputus asa dalam penulisan masing-masing. Bukan anugerah dan label yang mereka dambakan. Marilah kita menjadi puspa yang mewangi di taman persuratan Melayu!

* Kertas kerja ini disesuaikan daripada rencana “Pengarang Sepenuh Masa Kerjaya Profesional” yang terbit di dalam Dewan Siswa Oktober 2009.

** Nisah Haji Haron meninggalkan profesion guamannya pada tahun 2006 untuk menjadi pengarang sepenuh masa setelah menjadi peguam selama 8 tahun.



Isnin, Ogos 12, 2013

Buku pertama Enid Blyton yang saya baca

Enid Blyton. Sumber dari sini.
Saya tidak pernah kenal akan nama Enid Blyton sehinggalah saya mendapat hadiah buku sewaktu di sekolah rendah. Ketika itu saya berada di dalam darjah empat. Saya mendapat hadiah untuk tempat pertama pada peperiksaan penggal akhir (darjah tiga). Sebuah buku lagi untuk hadiah mata pelajaran Bahasa Inggeris terbaik.

Itulah titik perkenalan yang terawal untuk karya-karya Enid Blyton.

Dua buku pertama Enid Blyton yang berada di dalam koleksi saya.


Semalam hari lahir Enid Blyton (lahir pada 11 Ogos 1897; meninggal dunia pada 28 November 1968). Semasa kanak-kanak, saya tidak pernah terfikir pun sama ada Enid Blyton ini lelaki atau perempuan. Saya hanya tahu yang cerita-ceritanya menarik dan saya suka membaca karya-karya beliau. Selepas mengenali nama ini, saya terus mencari dan membaca buku-buku Enid Blyton dengan rakus. Saya banyak membaca sehingga masuk ke sekolah menengah. Mungkin setelah masuk ke menengah atas, barulah saya beralih.

Bukan semua ceritanya saya faham. Namun, itu bukan soal. Yang penting, saya baca dan telan. Hadam tak hadam, itu soal lain. Buku ini antara yang memahirkan saya dengan Bahasa Inggeris dan saya percaya, bukan saya sahaja yang mengalaminya. Enid Blyton telah memberikan rangsangan untuk pembaca kanak-kanak remaja. Selain Beatrix Potter (juga penulis buku kanak-kanak, yang lebih banyak menulis untuk kanak-kanak yang lebih muda usianya berbanding pembaca Enid Blyton), beliau juga antara penulis yang karyanya terlaris sepanjang zaman.

Amalan menghadiah buku kepada pelajar sekolah semakin kurang kini. Anak-anak saya sendiri juga sudah tidak menerima hadiah dalam bentuk buku apabila pada Hari Anugerah Kecemerlangan. Malah, ada perpustakaan yang menghadiahkan hamper berbentuk makanan ringan dan air bergas sebagai hadiah untuk hadiah yang sepatutnya diberikan buku.  Bukannya plak atau piala itu tidak bagus, hakikatnya, plak itu ialah barang yang tidak dapat dimanfaatkan, selain mengumpul habuk di atas almari. Hendak dibawa tidur seperti buku, bimbang tercucuk pula di sana sini. Lantas, bukulah hadiah yang paling sesuai untuk menghargai pencapaian akademik seseorang.

Kini, buku ini sudah boleh saya wariskan kepada anak-anak. Mereka dapat lihat suatu kenangan yang sedikit sebanyak, bolehlah dijadikan sebagai dorongan mahupun cabaran. Hadiah 30 tahun nan lalu masih lagi dapat dimanfaatkan pada hari ini.

Anak-anak yang mula gila membaca juga terkena tempias buku-buku ini, walaupun mereka kini sudah ada bahan bacaan pilihan masing-masing. Mereka juga mengenali Roald Dahl, Beatrix Potter dan siri-siri yang lain untuk bacaan di dalam bahasa Inggeris.

 Berbanding piala-piala  yang saya kumpul sejak dari sekolah rendah sehinggalah ke peringkat universiti, buku-buku yang menjadi hadiah ditempatkan di rak perpustakaan mini saya ataupun di ruang tamu. Piala-piala itu terbiar di dalam almari di bahagian belakang rumah kerana banyak memakan ruang. Bukanlah tidak menghargai hadiah yang sedemikian, tetapi kurang manfaatnya. Andai lukisan, boleh juga digantung. Kalau sijil, boleh dimasukkan ke dalam fail.

Kembali kepada buku-buku terawal Enid Blyton yang menjadi sejarah pembacaan saya, bagaimana dengan anda? Adakah Enid Blyton pernah membentuk dunia remaja anda? Apakah pula buku Enid Blyton yang terawal yang anda baca? Kongsi di sini.
 

Rabu, Julai 17, 2013

Warkah dari Sahabat Lama

I

Menemui kembali para pembaca yang budiman,

Sudah agak lama saya tidak mengisi laman ini dengan entri yang baharu. Atas kekangan tugas rasmi, menulis tesis, melayan FB, Twitter dan seribu satu alasan yang lain, saya telah abaikan blog ini. Seperti yang pernah saya janjikan (di FB), saya bercadang untuk menghidupkan semula blog ini setelah tesis saya selesai. Alhamdulillah, tesis itu sudah pun selesai dikerjakan. Hanya menunggu saat untuk viva. Doakan saya.

II


Hari ini saya sungguh-sungguh teruja kerana menerima bingkisan yang tidak terjangka. Sampul surat besar berwarna perang, di dalamnya ada pula bubble wrap. Saya semakin tertanya-tanya. Saya keluarkan satu-satu barang dari dalam sampul itu. Ada bekas pensel berzip (dari Paris?) dan dua buah penanda buku masing-masing bertulis "Praha" dan New Zealand.

Kemudian ada sekeping kad ucapan Selamat Hari Raya. Tulisan pada sampul surat itu saya lihat kembali. Masih cuba meneka kerana tulisan itu pernah akrab dengan saya. Cuma sudah agak lama kami tidak saling menulis. Teknologi merapatkan dan dalam masa yang sama memisahkan keakraban kami. Di dalam bekas pensel yang saya katakan itu, tersimpan sepucuk surat bertulis tangan.

Ah, benarlah. Ini tulisan sahabat saya, Tan Li Li, rakan karib sejak dari sekolah rendah di SK Dato' Klana Ma'amor, Seremban (1980 - 85). Memori persahabatan kami menerjah masuk ibarat empangan kenangan yang pecah.

Saya terus membuka lipatan warkah itu dan membacanya sehingga noktah yang terakhir. Enam muka surat kesemuanya. Ditulis pada halaman depan dan belakang.

Kami mula berutus warkah sejak berpisah kerana sambung belajar di sekolah menengah yang berasingan. Setiap kali menulis, kami menceritakan segala yang di sekeliling kami. Saya menulis dalam bahasa Inggeris dengan beliau kerana itu sahaja caranya untuk memahirkan penguasaan bahasa itu. Zaman tersebut tiada blog untuk meluahkan ekspresi. Jadi, menyurat menjadi medan terbaik.

Kami masih menulis sehinggalah masing-masing bertugas. Kesibukan melanda. Pun, kami cuba mengirimkan sekurang-kurangnya poskad atau setidak-tidaknya kad ucapan pada hari perayaan. Setelah saya berkeluarga, kerja-kerja menyurat tinggal begitu sahaja. Kami hantar SMS pada ketika tertentu dan hubungan itu masih lagi tidak terputus sehingga kini.

III

Buku Kembara Sastera ini boleh
didapati dari sini
Hari lahir Li Li yang tahun lalu, saya kirimkan senaskhah "Kembara Sastera Nisah Haron - UK & Dublin". Saya harap dia teruja menerima bingkisan daripada saya. Biasanya, pasti dia akan kirimkan SMS. Paling tidak SMS terima kasih.

Seminggu berlalu. Tiada satu mesej yang singgah ke telefon saya. Tidak mungkin dia tidak ada nombor saya. Bukanlah sikapnya untuk tidak membalas pesanan saya. Apatah lagi hadiah istimewa pada hari yang istimewa itu.

Hampir dua minggu berikutnya, usai makan malam. Li Li menelefon saya mengucapkan terima kasih atas hadiah yang baru diterimanya. Hati saya tertanya-tanya, "Baru terima?" Mungkin dia bertugas di luar negara sewaktu kiriman tersebut sampai, saya menerka. Pertanyaan saya terjawab apabila Li Li menerangkan yang dia sudah berpindah rumah. Alamat rumahnya memang saya cukup hafal kerana sering berutus surat sejak dahulu. Mujurlah rumah itu kini dimiliki oleh sahabat ayah Li Li. Tuan rumah yang baharu itu menerima bungkusan saya untuk Li Li, lalu dipanjangkan kepada ayah sahabat saya.

Oh, saya lega. Seketika saya membayangkan, kalaulah tuan rumah itu tidak kenal akan Li Li dan keluarganya. Entah ke mana pula buku saya itu dicampakkan?

Panggilan telefon itu kembali memesrakan keakraban kami. Dia cukup teruja dengan persembahan buku itu dan dia tidak sabar untuk memulakannya. Namun, kami bukanlah pembaca yang 'rakus'. Kami sama-sama suka 'berlama-lama' ketika membaca supaya dapat menikmati setiap buku yang dibaca. Apatah lagi, jika buku itu sangat menarik. Kami akan berasa 'kehilangan' jika membaca terlalu cepat kerana membaca buku yang sama buat kali kedua sama sekali tidak serupa seperti mana pertama kali membacanya.

Dipendekkan cerita, Li Li berjanji akan memberikan komen apabila selesai membacanya kelak. Saya okey sahaja. Tidak komen pun tidak mengapa. Saya lebih berbahagia kerana dapat menghadiahkan buku sendiri, lebih istimewa lagi, terbitan yang sangat cantik oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Buku ini sudah membawa seribu satu makna kepada saya dan telah mengakrabkan banyak persahabatan saya.

IV

Buku Kembara Sastera ini boleh didapati dari sini
Hari ini, warkah dari Li Li tiba berkajang-kajang. Kandungannya dengan rinci sekali memberi komen dan perasaannya ketika membaca setiap halaman buku "Kembara Sastera". Dia merasakan penat, debar dan kegembiraan yang saya cuba panjangkan kepada pembaca. Saya bahagia apabila pembaca saya bahagia. Apatah lagi, Li Li pernah menjadi inspirasi untuk saya kembara. Barangkali dia sendiri tidak berapa mengingatinya, tetapi saya menyimpan setiap suratnya ke dalam satu fail khas.

Ketika saya mahu mengembara ke Itali dahulu, saya rujuk suratnya kembali kerana Li Li pernah menghantar satu surat yang panjang menceritakan perihal kembaranya ke Eropah bersama-sama sahabat-sahabatnya lama dahulu. Tidak sia-sia saya menyimpannya. Ia menjadi satu daripada rujukan terbaik buat saya.

Kandungan surat kali ini pastilah peribadi sifatnya, namun, izinkan saya berkongsi satu daripada bahagian yang penting dan menyentuh jiwa saya. Kami sahabat berlainan bangsa dan agama yang sentiasa menghormati pendirian masing-masing. Terima kasih, Li Li kerana sudi mengambil masa menulis surat yang panjang ini. Mungkin sudah masanya untuk saya kembali menyurat kepada sahabat saya ini.

Petikan akhir surat daripada Li Li


Ahad, Mac 31, 2013

Hikayat - Ninotaziz

Hikayat: from the Ancient Malay KingdomsHikayat: from the Ancient Malay Kingdoms by ninotaziz

My rating: 5 of 5 stars


Saya tidak tahu tentang kewujudan buku ini sebelum penerbitannya. Saya 'terjumpa' buku ini sewaktu Pesta Buku Antarabanga Kuala Lumpur 2012 atau mungkin buku ini yang 'terjumpa saya kerana ia tahu minat saya terhadap karya-karya sebegini.

Umumnya, buku ini ditulis di dalam Bahasa Inggeris dan ditujukan untuk bacaan kanak-kanak / remaja. Buku ini sesuai untuk bacaan kanak-kanak yang sudah biasa dan terdedah dengan buku-buku berbahasa Inggeris. Kanak-kanak demikian, biasanya 'lemah' apabila diberikan teks berbahasa Melayu. Apatah lagi teks itu pula ditulis di dalam bahasa Melayu arkaik atau klasik. Tanpa guru dan bantuan mereka yang lebih mahir, cerita-cerita lisan seperti Awang Sulong Merah Muda, Malim Deman, Malim Dewa, Sejarah Melayu, Panji Semirang dan yang seangkatan dengannya akan hilang ditelan zaman kerana tiada usaha untuk mempermudahkan persembahan buku tersebut dalam konteks hari ini.

Buku ini saya gunakan sebagai bahan untuk bercerita kepada anak-anak. Ertinya, saya bacakan kepada anak-anak terlebih dahulu dengan gaya penglipur lara moden. Apabila mereka sudah terpaut dengan cerita dan gaya, anak-anak yang lebih besar memilih untuk membaca sendiri. Anak-anak yang lebih kecil akan menunggu supaya ceritanya dibacakan.

Panjang setiap cerita adalah sederhana dan ada jeda (pause) disediakan untuk memudahkan pembacaan dihentikan dan kemudian boleh disambung semula.

"Hikayat" dibahagikan kepada 3 bahagian utaman iaitu :

1. "The Epics of a Millenia" yang mengandungi kisah-kisah dari Sulaltus Salatin, Malim Deman, Hang Tuah, Merong Mahawangsa, Awang Sulong Merah Muda, Syair Siti Zubaidah Perang China, Panji Semirang, Huminodun (Sabah).

2. "Seven Royal Princesses" mengangkat kisah putri-putri Melayu iaitu Puteri Gunung Ledang, Teja, Hang Li Po, Puteri Saadung, Mayang Sari, Mahsuri dan Puteri Santubong.

3. "From the Ancient Arts" pula mengandungi kisah-kisah Wayang Kulit Kelantan Tulen - Hikayat Mahraja Wana, Mak Yong, Dewa Muda, Anak Raja Gondang dan Raja Besar Ho Gading.

Terdapat juga Glosari disediakan pada bahagian akhir buku kerana beberapa perkataan arkaik akan diberikan makna.

Penulis turut memasukkan petikan daripada teks asal di dalam Bahasas Melayu pada bahagian-bahagian tertentu untuk memberikan kesan aunthentic kepada karya ini. Penulis bukan menterjemah teks asal, sebaliknya menceritakan semula dengan laras dan lenggok bahasanya yang tersendiri. Misalnya, dalam bab "Tun Teja" ada disebut tentang kecantikan Tun Teja :

Pipi bak pauh dilayang
Betis bak bunting padi
Kulit umpama telur dikupas
Bibir bagai delima merekah


A beauty unparalleled...

Jika penulis menterjemahnya (apatah lagi secara literal) tulisan itu boleh menjadi lucu dan maknanya mungkin tidak sampai.

Pada bab yang lain pula, misalnya di dalam bab Puteri Gunung Ledang, penulis telah mengarang bait-bait puisi (di dalam Bahasa Inggeris) bagi menyampaikan kisah puteri tersebut. Sekali lagi, bahasa yang digunakan amat sesuai bagi kanak-kanak yang sudah biasa membaca puisi di dalam bahasa Inggeris.

Ringkasnya, saya boleh katakan buku ini sesuai dibaca kanak-kanak urban atau bandar sebagai satu cara menarik perhatian mereka terhadap khazanah bangsa Melayu. Melalui kaedah begini, mereka yang ingin tahu lebih lanjut, pastinya akan menyelongkar kembali teks-teks asal dan membaca dalam bahasa asalnya.

Kalau kita boleh memahami kisah-kisah tulisan Shakespeare kerana ia telah dipermudah terlebih dahulu, kemudiannya, barulah sesiapa yang berminat mencari kembali teks asalnya, hal yang sama boleh sahaja berlaku setelah membaca buku "Hikayat" ini.

Tidak cukup dengan itu setiap bab dihiasi dengan lukisan-lukisan yang memukau dan boleh menjentik inspirasi pembaca muda (juga pembaca dewasa) dalam mengenali bangsa Melayu dari aspek budaya, pemikiran dan jati diri.

Sesungguhnya, buku ini harus menjadi bacaan wajib untuk kanak-kanak dan remaja juga untuk ibu-ibu (dan bapa-bapa) yang suka membacakan cerita untuk anak-anak mereka.



View all my reviews



Ahad, Januari 06, 2013

Seorang Nadim Pada Waktu Subuh



Cerpen "Seorang Nadim Pada Waktu Subuh"
dalam Berita Harian (Ahad) 6 Januari 2013.


Khamis, November 01, 2012

Rakaman Resensi Buku RTM 1
Bersama-sama Sayed Munawwar

Ini bukanlah kali pertama bersiaran dalam Resensi Buku RTM1. Kali pertama, barangkali di studio RTM sewaktu membicarakan novel Mencari Locus Standi dan juga kemudiannya buku Karya Kita Hak Kita. Kedua-duanya ditangani Tuan Sayed Munawwar. Memang mudah bekerja dengan perantara seperti beliau yang mahir dengan buku, faham tentang dunia buku dan juga penulis. Soalannya membuatkan kita mudah berbicara tentang apa yang kita mahu perkatakan dan menepati pula kehendak penerbitan.

Bahagian luar Perpustakaan Kuala Lumpur. Foto ini diambil pada waktu lain
kerana semalam hujan. Kredit foto masih Nisah Haron.
Semalam rakaman kali pertama di luar studio. Rakaman dijalankan di aras satu Perpustakaan Kuala Lumpur yang sangat cantik. Bangunannya cantik di luar dan cantik lagi di bahagian dalam. Kondusif untuk buat rujukan sambil termenung memerhatikan Bandar Raya Kuala Lumpur.

Rakamannya singkat tetapi seperti biasa, persediaan sebelum rakaman lebih panjang. Persediaan seperti solekan, memasang mikrofon dan posisi yang sesuai untuk penggambaran.

Sedang rakaman. Menerangkan kandungan buku dan tentang kembara.
Terima kasih, Cik Ainunl Muaiyanah, pegawai ITBM yang tolong merakam
foto-foto "The Making of..." Kredit foto : Nisah Haron

Nantikan siarannya. Saya juga tidak pasti tarikh dan masa. Akan diumumkan kemudian. Untuk foto-foto lain, ada di Facebook Nisah Haron - Pengarang.



Selasa, Oktober 23, 2012

Ismail Kassan - Penerima Anugerah S.E.A. Write (Malaysia) 2012

Tahniah kepada Tuan Ismail Kassan atas penanugerahan “S.E.A Write Award” tahun 2012 bagi negara Malaysia.

Ismail Kassan. Kredit foto : Dewan Bahasa dan Pustaka
Biodata Ismail Kassan

Dilahirkan di Johor Bahru pada 26 September 1954, ISMAIL KASSAN atau nama penuhnya Ismail bin Kassan mendapat pendidikan awal di Singapura dan di Johor sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Ekonomi (1976-1978). Penglibatan beliau dalam bidang penulisan bermula dengan karya dan arahan pertama beliau berjudul "Fajar Merah di Teluk Ketapang" pada tahun 1972. Sejak itu, Ismail telah mengarahkan lebih 10 pementasan teater dan menghasilkan lebih 35 karya dalam pelbagai genre, khususnya drama pentas. Ismail merupakan antara penulis yang paling banyak memenangi anugerah dan hadiah utama untuk karya drama beliau, antaranya “Pelayaran Inderaputera 2” “Menanti Puteri Hijau” , Gelanggang Tuk Wali”, “Jambatan Merah” dan lapan(8) yang lain,termasuk sebuah novel yang pernah menjadi teks sekolah di Malaysia dan Singapura (2007-kini). Beliau sering diundang membentang kertas kerja di dalam dan luar negara, menjadi hakim pelbagai pertandingan teater dan mengendalikan berpuluh-puluh bengkel penulisan di samping menjadi pensyarah sambilan bidang teater di beberapa IPT sejak tahun 2004. Beliau pernah menjadi Presiden Majlis Teater Kebangsaan Malaysia dan pernah dilantik sebagai Ahli Panel Penasihat Persembahan Istana Budaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Berikut ialah karya-karya yang telah dihasilkan oleh Ismail Kassan.

Drama Pentas

1. “Pelayaran Inderaputra” : Sayembara Menulis Skrip Drama Panjang Anjuran DBP, 1979 (Tempat Pertama).
2. “Menanti Puteri Hijau” : Sayembara Menulis Skrip Teater Anjuran Berita Harian – Yayasan Seni Berdaftar, 1988 (Tempat Pertama).
3. “Istiqamah” : Sayembara Menulis Skrip Teater Anjuran DBP – Indah Water Konsortium, 1990 (Tempat Pertama).
4. “Gelanggang Tuk Wali” : Sayembara Menulis Skrip Drama Berunsur Islam Anjuran DBP – Yayasan Pelajaran Islam, 1997 (Tempat Kedua).
5. “Kilung Musung” : Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), 2001 (Kategori Eceran)
6. Kumpulan Drama Gelanggang Tuk Wali : Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), 2003 (Kategori Buku).
7. “Bukan Dejavu” : Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), 2009 (Kategori Eceran).
8. “Hang Nadim" : Sayembara Menulis Skrip Drama Kanak-Kanak (Muzikal) Anjuran Istana Budaya, 2005 (Hadiah Sagu Hati).
9. “Kembang Cempakasari” : Sayembara Mengarang Sempena 50 Tahun Merdeka, Anjuran DBP, 2008 (Tempat Pertama).
10. “Bukan Dejavu” : Sayembara Mengarang Sempena 50 Tahun Merdeka, Anjuran DBP, 2008 (Tempat Kedua).
11. “Jambatan Merah” : Sayembara Menulis Skrip Drama Pentas, Anjuran DBP, 2012 (Tempat Kedua).

Novel
1. Restu : Sayembara Menulis Novel Anjuran Kumpulan Perangsang - GAPENA, 1997 (Tempat Kedua).(Teks KOMSAS Malaysia (2001-2005) / Singapura (2007 – kini).

HASIL KARYA

A. Drama Pentas

1. “Fajar Merah Di Teluk Ketapang” (dipentaskan dari 1972- 1973).
2. “Meriam Besar di Kuala” (dipentaskan dari 1974 - 1975)
3. “Syajar” (dalam Kumpulan Drama Gelanggang Tuk Wali, DBP, 2003 / dipentaskan dari 1977 – 2010).
4. “Megat Terawis” (dipentaskan dari 1978 -1980).
5. “Pelayaran Inderaputra II” (DBP, 1979 / (dipentaskan dari 1979 - 1995).
6. “Sabda Seorang Pendeta” (dalam Antologi Drama 1400, DBP,1980 / dipentaskan dari 1981 –1990).
7. “Dejavu Seorang Perempuan”, dalam Kumpulan Drama Ismail Kassan, Dejavu Seorang Perempuan, DBP, 2003 / dipentaskan dari 1999 – 2010).
8. “Menanti Puteri Hijau”, (dalam Kumpulan Drama Gelanggang Tuk Wali, DBP, 2003 / dipentaskan pada1999).
9. “Gelanggang Tuk Wali”, dalam Kumpulan Drama Ismail Kassan, Gelanggang Tuk Wali, DBP, 2003 / dipentaskan dari 1998 - 2010).
10. “Kilung Musung” , dalam Kumpulan Drama Dejavu Seorang Perempuan, Seroja Hyatt, 2001 / dipentaskan dari 2001 - 2002).
11. “Alang Bestari” (dipentaskan dari 2001 – 2002 / (Mewakili Malaysia dalam Festival Boneka Asia-Eropah di Bangkok Thailand, 17-23 Julai 2002).
12. “Istiqamah”, (dalam Kumpulan Drama Ismail Kassan, Gelanggang Tuk Wali, DBP, 2003).
13. “Nur Nilam Sari”, (dipentaskan dari 2000 – 2004).
14. Drama Kanak-kanak (Muzikal) “Hang Nadim” ( 2005).
15. Drama Kanak-kanak “Tembang Sang Puyoh” (2007)
16. “Bukan Dejavu”, (dalam Antologi Drama Kembang Cempakasari, DBP, 1980 / dipentaskan dari 1981 - 1990).
17. “Petalawati Diri”, (Dewan Budaya, September 2009 / dipentaskan dari 2008 - 2010).
18. “Satu Pintu”, (dipentaskan pada 2009).
19. “Epilog Raja Singa”, (dipentaskan pada 2010)
20. “Perempuan Yang Hilang” (dipentaskan dari 2008 - 2010).
21. “Muzikal Tun Mahathir”, (dipentaskan dari 2010 - 2011).
22. “Kembang Cempakasari”, (dalam Antologi Drama Kembang Cempakasari, DBP, 1980 / dipentaskan pada 2011).

B. Novel/Cerpen
1. Restu (Berita Publishing, 1997/ Gapeniaga, 2000)
2. “Kecundang” (Dewan Sastera,1995)
3. “Tok Kelabu”, (Dewan Sastera, 2006)

C. Drama TV/Drama Radio
1. “Pertembungan” (1996).
2. “Normala Gadisku” (1997).
3. “Pak Man Tiger” (2007).
4. “Cucu Pak Awang” (1999).

D. Buku
1. Kisah Sekita Siri I (Felda, 1988).
2. Kisah Sekita Siri II (Felda, 2011)

Sumber : Dewan Bahasa dan Pustaka



Sabtu, Oktober 06, 2012

HSKU 2011 : Kembar Sastera dan Hadiah Berganda

Tahniah kepada semua pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011 (HSKU 2011). Majlisnya telah berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada 5 Oktober 2012.


Secangkir teh panas di penghujung acara
Secara peribadi, ada sesuatu yang mengusik nostalgia ketika berada di hotel ini. Inilah hotel tempat saya menerima anugerah sastera yang pertama dalam hidup saya pada 5 Jun 1992. Pada tarikh yang sama juga, buat pertama kalinya saya sampai ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Nostalgia 20 tahun yang lalu singgah kembali. Kala itu, saya menang cerpen "Atlantis, Duniaku Duniamu". Cerpen yang kedua tersiar dalam sejarah penulisan saya dan pertama kali dimenangkan. Ada debar dan rasa teruja sama-sama berbaur. Itulah suatu permulaan yang manis dalam sejarah penulisan yang telah berlangsung lebih dua dekad ini.

Untuk HSKU 2011, saya mendapat Hadiah Utama Rencana Sastera untuk tulisan saya "Penulis (Muda) Tunggu Pengiktirafan". Paling manis, sahabat saya Dr. Mawar Safei turut sama menerima Hadiah Utama Kajian Sastera apabila makalahnya "Tradisi dalam Novel Remaja Sri Rahayu". Kedua-dua tulisan kami tersiar tersiar di dalam Jurnal Pemikir (Jan-Mac 2011).

Dr. Mawar Safei (kiri bertudung merah jambu)
Komen paling lazim apabila kami berdua berada di dalam majlis yang sama (dan malam tadi kami duduk semeja pula) ialah rupa kami yang dikatakan ada iras. Ramai yang keliru yang mana Mawar dan yang mana Nisah. Pernah juga saya diberikan gelaran "Dr. Nisah" dan entah berapa ramai pula yang menegur saya "Apa khabar, Dr. Mawar?"

Namun, saya bahagia sahaja dengan situasi ini. "Kekembaran" kami sering mendapat perhatian. Malam tadi, lengkaplah "kekembaran" kami. Menang kategori yang sama, duduk di meja yang sama dalam majlis yang sama!

Majlis penyampaian hadiah sastera ialah "Hari Raya" buat penulis. Di sini, kami bertemu, bertanya khabar, bergambar dan saling menyokong (dengan membeli karya). Pertembungan Majlis HSKU dan Bengkel Penulisan ITBM-PENA (yang mungkin disengajakan?) telah membawa lebih ramai penulis ke dalam majlis ini. Seharusnya, keadaan seperti ini mestilah diteruskan. Penulis yang belum sempat memenangi apa-apa hadiah akan berasa teruja dan berbahagia apabila diundang ke majlis seperti ini. Saya sendiri pernah meraikan sahabat-sahabat penulis dalam majlis-majlis hadiah sastera yang saya tidak menang sebarang hadiah. Ini disebabkan, akhirnya bukanlah soal menang-kalah dalam apa-apa bentuk pertandingan. Yang penting ialah semangat untuk menulis dan meneruskan perjuangan melalui mata pena.

Mana-mana penulis yang berasa 'dengki' dan menyuarakan rasa 'kedengkian' itu atau apa-apa sahaja perasaan negatif melalui laman-laman sosial seringkali menjadi penulis yang tidak sampai ke mana-mana pun. Tenaga kita cuma satu, eloklah tenaga yang tersimpan itu disalurkan kepada perasaan-perasaan yang positif. Apabila kita percaya bahawa rezeki dan anugerah itu kerja Tuhan, kita telah pun berdamai dengan diri. Nanti apabila sampai ketika yang sesuai Allah akan aturkan sesuatu.

Menerima hadiah daripada Sasterawan-Sasterawan Negara
Dato' Kemala dan Dato' Anwar Ridhwan. Kredit foto : Ladin Nuawi.

HSKU saya yang sebelum ini ialah pada tahun 2008 ketika memenangi novel Tawarikh Cinta. Sejak itu, tiada karya saya tersenarai dalam HSKU dan dua kali dalam senarai pendek iaitu cerpen "Resipi Dari Istana 3" dan "Sayap-sayap Kecil di Graha Jentayu". Namun, ada juga komen yang saya terima bahawa 'setiap tahun menang' mungkin keliru ketika saya juga memenangi hadiah sastera yang lain, misalnya :
Boleh rujuk biodata saya untuk maklumat lebih terperinci.

Tujuan catatan ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk tetapi mahu membetulkan fakta dan rekod. Tidak manis kalau berkata-kata tanpa merujuk kepada fakta yang tepat. Sebagai penulis, saya sensitif dalam hal-hal ini.

Bersama-sama Puan Alina Idris
Seperti yang saya katakan tadi, majlis sastera terasa seperti "Hari Raya" buat penulis. Paling manis ialah pertemuan dan masa utnuk merapatkan ukhwah sesama penulis. Ada sempat ditegur, ada yang sempat dilambai dari jauh dan ada sempat berbual mesra sehingga akhir majlis. Antara yang paling manis buat saya ialah pertemuan dengan seorang lagi "idola" saya sejak zaman remaja - Puan Alina Idris. Ketika saya masih di sekolah menengah, dan ketika saya terlalu ingin untuk melihat nama saya sebaris dengan nama-nama penulis muda dalam Dewan Siswa, nama Alina Idris memang tidak dapat saya lupakan. Saya mahu nama saya sebaris dengan Putri Al-Insyirah Megat Sapeli, Lily Haslina Nasir, Ani Mawar Abdullah dan tidak lupa Alina Idris.

Kini kami bertemu semula setelah sebelum ini hanya sempat berbual di telefon dan bertemu di laman maya.

Kononnya, HSKU kali ini ada dominasi penulis wanita dalam senarai pemenang. Pada saya ini kebetulan sahaja dan panel bukan menilai pengarangnya tetapi apa yang dikarang. Saya tidak pernah mempertikaikan keputusan hakim, walaupun pada mana-mana anugerah yang saya tidak berjaya. Bukankah semua itu ada hikmahnya. Rezeki di tangan Allah. Dia akan berikan apa yang kita perlu, bukan semestinya apa yang kita mahu.

Hafizah Iszahanid juga mantan peserta MPR
Bertemu sahabat penulis Hafizah Izhanid yang menang berganda melalui novel Deru Angin yang mendapat tempat pertama juga cerpen istimewanya yang berjudul "Istimewa" yang memenangi Hadiah Utama. Lebih berganda lagi, bagi Hafizah hari lahirnya bakal tiba (HSKU jadi hadiah hari lahir yang diawalkan) dan juga buat si kecil yang bakal lahir tidak lama lagi. Alhamdulillah.

Meja kami menjadi agak 'happening' apabila semuanya perempuan dan yang lelaki cuma suami Sri Rahayu Mohd Yusop dan suami saya. Kami dapat makan seperti adik beradik. Apabila harus makan dengan gaya 'terlalu bersopan' (seperti di meja VIP) hilang selera dan akhirnya, tidak kenyang.

Tahniah buat semua sahabat-sahabat penulis. Lebih menarik lagi, ramai juga muka-muka baharu dalam HSKU 2011. Ini suatu perkembangan yang sihat. Jika balik-balik muka itu juga yang menang, kami yang biasa menang ini juga turut bimbang dengan kualiti sastera dalam gambar yang lebih besar. Nama-nama seperti Tuah Sujana, Dayang Mastura, Zaniffa Azzura adalah antara nama-nama yang menjanjikan. Semoga HSKU 2012 akan jadi lebih meriah lagi. Yang senior dan biasa menang juga masih kekal seperti trio "Zaen - Zakir - Zainal", Fahd Razy dan Salina Ibrahim.

Novel-novel dan antologi karya HSKU 2011 akan berada secara online di Ujana Ilmu. Nantikan pengumumannya.

Novel-novel HSKU 2011.
Pertama : Deru Angin (Hafizah Iszahanid)
Kedua : Waris Pejuang (Ruhaini Matdarin)
Ketiga : Rimba Jiwa (Sri Rahayu Mohd Yusop)

Antologi Istimewa - Kajian / Rencana Sastera, dan Cerpen
Antologi Cerita Akhir Tahun - Cerpen Remaja

Hafizah Iszahanid (merah) dan Salina Ibrahim (hijau)
Dari kiri : Sri Rahayu, Dr. Mawar Safei, Norziati Md Rosman, dan Nisah Haron

Khamis, September 20, 2012

Kembara Sastera Italiana :
Pasar Rialto dan Marco Polo

"I believe it was God's will that we should come back, so that men might know the things that are in the world, since, as we have said in the first chapter of this book, no other man, Christian or Saracen, Mongol or pagan, has explored so much of the world as Messer Marco, son of Messer Niccolo Polo, great and noble citizen of the city of Venice." - Marco Polo

Sebelum menjejakkan kaki ke Venice, asosiasi yang paling hampir dengan nama bandar ini ialah The Merchant of Venice karya Shakespeare. Karya yang sudah saya baca sejak kecil dahulu, memperkenalkan saya pada bandar Venice, walaupun pada ketika itu saya tidak dapat membayangkan bagaimanakan rupanya. Yang terbayang hanyalah Venice sebagai sebuah pelabuhan kerana mengikut cerita The Merchant of Venice, Antonio yang menjadi 'saudagar Venice' ini sedang menunggu kapalnya berlabuh di pelabuhan Venice. Dia yang sudi menjadi penjamin kepada Bassanio yang meminjam wang dari Shylock untuk mengahwini Portia.




Kisah memulakan perkahwinan dengan hutang ini ada disentuh di dalam cerpen saya "Sepaun Daging Hutang" (Dewan Budaya, April 2007) sebuah cerpen berbaur interteks yang saya berikan makna baharu terhadap hipoteks Shakespeare ini. Betapa memulakan perkahwinan dengan hutang dan riba menimbulkan banyak petaka, hatta dalam karya Shakespeare sendiri.

Sebelum ke Venice, imej visual yang saya ada tentang bandar ini juga datangnya dari filem Casanova (2005) lakonan mendiang Heath Ledger. Saya banyak melihat lokasi-lokasi penting di Venice di dalam filem ini, khususnya kawasan Piazza San Marco dan The Grand Canal. Imej-imej Venice pastilah sangat sinonim dengan tempat-tempat ini selain pendayung gondola juga.

Dengan maklumat yang sangat minimum dan tiada maklumat lain tentang sastera yang boleh dikaitkan, kecuali karya Shakespeare, The Merchant of Venice, saya berhasrat untuk menyelongkar lagi budaya dan kalau boleh khazanah kesusasteraan yang terdapat di sini. Khabarnya, ramai penulis yang singgah di tempat ini kerana tempatnya yang dikatakan sungguh menumbuhkan inspirasi untuk berkarya. Hemingway pernah ke sini dan dikatakan selalu minum di Caffe Florian tidak jauh dari kawasan Piazza San Marco. Nama penulis Inggeris yang disebut-sebut turut menjadi Venice sebagai inspirasi menulis termasuklah Thomas Mann, Ezra Pound dan Robert Browning (sekadar menyebut beberapa nama).

Peta kembara Marco Polo dari tahun 1271 - 1295 Masehi

Saya juga mengasosiasikan tempat ini dengan Marco Polo, pengembara dunia yang terkenal itu, berasal dari Venice. Marco Polo juga dibesarkan di bandar yang menjadi pusat perdagangan di Mediterranean pada tahun 1200-an. Lokasi Venice yang menghadap Laut Adriatik ini turut menjadikan tempat ini sebagai pelabuhan yang penting dan strategik antara benua Eropah dan Asia. Kedudukannya dari segi geografi yang terlindung kerana berada di dalam sebuah teluk dan juga lagun, menjadikan tempat ini selamat untuk kapal berlabuh dan berlindung daripada angin kencang.

Terbayang-bayang di ruang mata, gambaran Venice pada tahun Marco Polo memulakan pengembaraannya kira-kira satu abad lebih awal dari Ibnu Battutah (yang lahir pada tahun 1304, manakala Marco Polo meninggal dunia pada tahun 1324). Saya bayangkan kapal-kapal dagang yang besar yang singgah di kawasan dermaganya yang terlindung. Hidup berhampiran dengan laut, pastinya menjadikan warganya berani menempuh badai. Kalau tidak, pasti tidak akan ada pepatah yang menyatakan, "Kalau takut dilebur pasang, usah berumah di tepi pantai".

Menurut bukunya, The Travels of Marco Polo, beliau mengembara sehingga ke negeri China, Mongol dan sempadan Rusia, Asia dan seterusnya kembali ke Venice. Namun, yang lebih penting ialah pengembaraan itu bermula di tempat saya berpijak kini, Kota Venice!

Terlintas juga di fikiran untuk mencari rumah Marco Polo. Carian di internet tidak memberikan saya maklumat yang tepat. Saya juga tidak mencari lebih lanjut dan teliti kerana agak kesuntukan masa. Mercu tanda untuk sampai ke rumah Marco Polo ialah Jambatan Rialto. Memang itu pun yang saya cari pada peringkat awal kembara di Venice ini. Khabarnya, apabila sampai ke Jambatan Rialto, itu bermakna saya sudah sampai separuh perjalanan dari hostel ke Piazza San Marco.

Debar yang terasa sewaktu melalui lorong-lorong seperti sebuah labirin ini semakin kurang. Semalam, sewaktu baru sampai debaran ini hampir menguasai diri. Saya tidak dapat membohongi diri. Saya risau jika tersesat sendirian di lorong yang salah. Kali ini, diri saya semakin menguasai pelajaran menjadi warga Venice yang biasa hidup berlari-lari dari satu lorong ke satu lorong yang lain.

Sesekali, saya membayangkan perbualan ibu dan anak orang-orang Venice ini:

"Mahu ke mana?" soal ibu kepada anaknya.
"Ke rumah Giovanni."
"Giovanni yang mana?"
"Alah, yang rumahnya tepi jambatan kecil belakang rumah kita ni."

Pastinya, anak itu tidak boleh menjawab, "rumah yang tepi air tu" kerana semua rumah di sini di tepi air. Saya terfikir bagaimana mereka menjaga anak-anak kecil daripada 'terlepas' dan jatuh ke dalam terusan ini. Saya gerun. Barangkali, mereka ini alah bisa, tegal dek biasa. Bagi kita yang dapat merasa tinggal di kampung sewaktu anak-anak, pastinya kita sudah dapat timbangkan tahap bahaya ketika berada di tepi sungai atau ketika mandi sungai.

Terlalu banyak yang bermain di dalam fikiran saya sewaktu berjalan kaki dari satu lorong dan keluar di lorong yang lain. Tanpa disangka, langkah saya dibawa ke kawasan yang luas dipanggil campo atau medan (square). Di kawasan ini juga menjadi kawasan kanak-kanak bermain bola. Bayangkanlah, ini sahaja kawasan lebar di darat untuk berbuat apa-apa sahaja. Selebihnya adalah air belaka.

Penjual cenderamata sedang menyusun barang yang diniagakan
Di kawasan yang terbuka ini saya mula mendengar suara hingar-bingar, seolah-olah ada ramai orang di situ. Langkah saya percepatkan sambil kamera saya pegang kejap di dalam saku jaket. Hari sudah mula meninggi dan para penjual cenderamata sudah selesai menyusun barang-barang dagangan di kiosk-kiosk masing-masing.


Lagi kiosk cenderamata
Anehnya, bunyi hingar-bingar itu bukanlah datangnya dari kumpulan penjual cenderamata ini kerana pagi masih awal. Pelancong belum ramai yang mengerumuni kawasan ini. Malah, saya terjumpa dua orang pak cik yang sedang menolak kiosk bergerak ke lot perniagaannya. Mereka menjual cenderamata yang diperbuat daripada kayu dan mereka juga memanggil diri mereka sebagai Mastro Geppetto. Langsung saya teringat kepada cerita kanak-kanak The Adventures of Pinocchio karya Carlo Collodi yang telah ditulis pada tahun 1883 itu. Namun, lebih ramai yang mengenali versi adaptasi Walt Disney (terbitan tahun 1940).



Pak cik berdua yang saya temui ini ialah "Geppetto" sebenar dan hampir sama
gambaran yang dibayangkan oleh Disney dalam filem animasinya!
Cenderamata patung kayu menyerupai "Pinocchio" ini amat popular di Itali.
Pun, sumber bunyi hingar-bingar ini masih bukan berpunca dari para penjual cenderamata di kawasan ini. Semakin saya pantaskan langkah, suara hingar-bingar ini semakin ketara. Saya pandang sekeliling sambil merakam foto-foto bangunan di sini. 

Mercato del Pesce bermaksud pasar ikan.
Membaca tulisan pada bangunan itu, barulah saya perasan yang saya semakin memasuki kawasan pasar. Inilah Pasar Rialto yang terkenal. Sifat pasar sama sahaja seperti pasar-pasar basah yang lain. Jika mahukan barang yang bagus, harus datang awal pagi. Lebih awal lebih baik. Kedatangan saya sekitar pukul 9.30 pagi agak awal bagi pelancong biasa. Kedudukannya pasar ini betul-betul di sebelah jeti Traghetto S.Sofia benar-benar memudahkan pergerakan menghantar ikan-ikan dan makanan laut yang segar.

(Nota : Traghetto ialah feri dalam bahasa Itali. Rupanya lebih kurang sebuah gondola tanpa hiasan. Biasanya penumpang berdiri ketika menaiki traghetto dan sesuai untuk pergi dari satu tempat ke satu tempat di sekitar The Grand Canal. Perjalanannya pendek. Untuk yang lebih jauh, penumpang akan menaiki bot yang dipanggil vaporetto. Mahu lebih perlahan dan romantis, naik gondola)


Pasar Rialto ini sudah berusia 700 tahun. Mereka yang datang bukanlah ramai yang membeli, lebih ramai lagi yang datang 'menembak' di sini. 'Menembak' yang saya maksudkan ialah jurufoto profesional dan amatur sama-sama melakukan aktiviti mengambil gambar di kawasan ini. Pada mulanya, saya berasa segan untuk mengambil gambar-gambar ikan, udang, sotong dan hidupan laut yang aneh ini. Maklumlah, lain laut lain ikannya. Ini ikan-ikan dari Laut Adriatik, pastilah jauh berbeza dengan ikan-ikan di Selat Melaka atau Laut China Selatan. Apabila melihat jurufoto dengan lensa masing-masing tidak kurang sehasta panjangnya, apa lagi, saya pun keluarkan kamera kompak dari saku jaket dan terus melakukan aktiviti yang sama seperti mereka.

Ikan Salmon dan makanan laut yang segar. 
Tulisan "capesante pulite fresche" bermaksud scallops (kekapis) segar yang sudah bersih.
 
Seorang daripada jurufoto yang sedang merakam subjek di Pasar Rialto.
 Lantas tidak hairanlah, Shakespeare pernah menyatakan tentang Rialto di dalam The Merchant of Venice :

"What news on the Rialto?" 
Shylock 
Act 1, Scene III, The Merchant of Venice
Rialto bukan sekadar jantung yang menjadi nadi kepada seluruh Venice, malah kedudukannya yang tepat di tengah-tengah Venice secara geografi ini juga menjadikan ia pusat yang penting untuk bandar lautan ini. Tidak cukup dengan itu, penyair Elizabeth Barrett Browning menulis sebuah soneta yang berjudul : The Soul's Rialto Hath Its Merchandise.

Sonnet XIX
The soul's Rialto hath its merchandise;
I barter curl for curl upon that mart,
And from my poet's forehead to my heart
Receive this lock which outweighs argosies,--
As purply black, as erst to Pindar's eyes
The dim purpureal tresses gloomed athwart
The nine white Muse-brows. For this counterpart, ...
The bay-crown's shade, Beloved, I surmise,
Still lingers on thy curl, it is so black!
Thus, with a fillet of smooth-kissing breath,
I tie the shadows safe from gliding back,
And lay the gift where nothing hindereth;
Here on my heart, as on thy brow, to lack
No natural heat till mine grows cold in death.

Sumber di sini.

Ah, gabungan Marco Polo, Shakespeare, Elizabeth Barrett Browning dan Pasar Rialto telah menjadikan saya tidak keruan di sini. Sedangkan, saya masih lagi belum melihat sendiri bagaimanakah rupanya Jambatan Rialto yang sering disebut-sebut itu.


Related Posts with Thumbnails