Bahasa rancu, esemes & standard


Terkesan dengan tulisan Zin Mahmud hari ini dalam Utusan Malaysia yang berjudul Tiga Dialek Melayu Akan Datang. (Juga boleh dibaca di blog Salina Ibrahim).

Bahasa rancu ataupun bahasa bercampur aduk (sila rujuk Kamus Dewan edisi 4) semakin berleluasa. Dalam pertuturan seharian juga sudah menjadi satu kebiasaan untuk mencampurkan pertuturan sekerat ikan sekerat belut ini. Jangan salah faham, saya tidak menghalang sesiapa pun yang mahu menggunakan bahasa Inggeris. Anak saya pun berbahasa Inggeris (dengan baik) di rumah pada kala tertentu. Namun, saya pastikan jika mahu berbahasa Inggeris, gunakan sepenuhnya. Kalau mahu berbahasa Melayu, gunakan bahasa Melayu yang betul.

Bahasa esemes - saya paling sakit hati dengan jenis tulisan begini. Apatah lagi apabila ia digunakan secara rasmi - dalam karya (kalau saya jumpa, memang saya bukan setakat pancung tulisannya, penulisnya pun saya pancung sekali!), ertinya dalam bentuk persuratan. Jika tujuan bahasa esemes ini ialah untuk meringkaskan tulisan yang panjang, ikutlah cara singkatan yang betul.

Bayangkan kalau hendak tulis perkataan berikut :

gila dieja "giler"
itu dieja "tue"
mana dieja "maner"

- bukankah itu sudah memanjangkan ejaan perkataan dan bukan sebaliknya. Itu belum masuk lagi singkatan yang dibuat sesuka hati.

saya menjadi sy
tidak menjadi x
insya-Allah menjadi IA

- itu belum campur no. 2 yang digunakan untuk menggantikan apa-apa ejaan "tu" seperti u2san (utusan) ataupun adakalanya digunakan dalam konteks bahasa Inggeris iaitu "to" ataupun "too". Hingga adakalanya mesej yang dikirim itu benar-benar mengelirukan.

Pernah saya terima esemes daripada seorang tokoh bahasa dan sastera (ahli akademik lagi tu!) yang membalas, "jgn lupa bawa kk"

Saya garu kepala, "kk?"

"kertas keje" dia membalas.

Ya Allah! Manalah nak tangkap maksud singkatan itu ialah untuk kertas kerja? Konteks perbualan esemes kami sebelum itu tidak memungkinkan saya meneka "kk" itu bermakna kertas kerja. "kk" boleh sahaja diterjemahkan menjadi banyak makna lain - kencing kucing, Kota Kinabalu, kertas kajang, dan apa-apa lagi mengikut kreativiti seseorang.

Benar, bahasa itu perlu dinamik tetapi dalam konteks yang bagaimana? Jadi, kalau ahli bahasa pun berbahasa selunaknya dalam konteks esemes ini, apatahlah lagi orang biasa seperti saya yang bukan ahli bahasa tetapi terhegeh-hegeh mahu mempertahankan bahasanya.

Dalam hal ini saya sangat menghormati pendirian Dr. Awang Sariyan yang berbahasa dengan sebaik mungkin sama ada dalam e-mel ataupun dalam menghantar pesanan ringkasnya melalui telefon. Tidak timbul salah faham yang tidak sepatutnya.

Alasan untuk orang yang suka meringkaskan segala bentuk ejaan : esemes mahal! OK. Apa beza kos penghantaran perkataan "tak payah" dengan "x pyh"? Setahu saya esemes dikenakan bayaran bergantung kepada had jumlah perkataan tertentu. Bukannya mengikut aksara.

Alahai... Nisah membebel lagi. Namun, dalam hal-hal sebegini, saya memang merasa terganggu dengan bahasa yang saya anggap kurang sopan, tidak menghormati bahasa dan mempermain-mainkan bahasa kebangsaan.

Frasa "Marilah kita berbahasa sebaik-baiknya" ini hendaklah berada dalam nadi dan salur darah setiap manusia yang mahu memartabatkan bahasa Melayu. Bukan sekadar memartabakkan. (Perhatikan ejaan sebenar bagi mereka yang suka mengejanya sebagai 'murtabak')

Sikap beginilah yang menjadikan manusia Melayu yang lupa hendak berbahasa Melayu hatta dalam acara rasmi seperti di Seminar Warisan Melayu yang pernah saya hadiri sedikit masa dahulu. Entri tentang itu boleh dibaca di sini.

Jadi, di mana anda berdiri?

Ulasan

Catatan Popular