Warkah dari Sahabat Lama

I

Menemui kembali para pembaca yang budiman,

Sudah agak lama saya tidak mengisi laman ini dengan entri yang baharu. Atas kekangan tugas rasmi, menulis tesis, melayan FB, Twitter dan seribu satu alasan yang lain, saya telah abaikan blog ini. Seperti yang pernah saya janjikan (di FB), saya bercadang untuk menghidupkan semula blog ini setelah tesis saya selesai. Alhamdulillah, tesis itu sudah pun selesai dikerjakan. Hanya menunggu saat untuk viva. Doakan saya.

II


Hari ini saya sungguh-sungguh teruja kerana menerima bingkisan yang tidak terjangka. Sampul surat besar berwarna perang, di dalamnya ada pula bubble wrap. Saya semakin tertanya-tanya. Saya keluarkan satu-satu barang dari dalam sampul itu. Ada bekas pensel berzip (dari Paris?) dan dua buah penanda buku masing-masing bertulis "Praha" dan New Zealand.

Kemudian ada sekeping kad ucapan Selamat Hari Raya. Tulisan pada sampul surat itu saya lihat kembali. Masih cuba meneka kerana tulisan itu pernah akrab dengan saya. Cuma sudah agak lama kami tidak saling menulis. Teknologi merapatkan dan dalam masa yang sama memisahkan keakraban kami. Di dalam bekas pensel yang saya katakan itu, tersimpan sepucuk surat bertulis tangan.

Ah, benarlah. Ini tulisan sahabat saya, Tan Li Li, rakan karib sejak dari sekolah rendah di SK Dato' Klana Ma'amor, Seremban (1980 - 85). Memori persahabatan kami menerjah masuk ibarat empangan kenangan yang pecah.

Saya terus membuka lipatan warkah itu dan membacanya sehingga noktah yang terakhir. Enam muka surat kesemuanya. Ditulis pada halaman depan dan belakang.

Kami mula berutus warkah sejak berpisah kerana sambung belajar di sekolah menengah yang berasingan. Setiap kali menulis, kami menceritakan segala yang di sekeliling kami. Saya menulis dalam bahasa Inggeris dengan beliau kerana itu sahaja caranya untuk memahirkan penguasaan bahasa itu. Zaman tersebut tiada blog untuk meluahkan ekspresi. Jadi, menyurat menjadi medan terbaik.

Kami masih menulis sehinggalah masing-masing bertugas. Kesibukan melanda. Pun, kami cuba mengirimkan sekurang-kurangnya poskad atau setidak-tidaknya kad ucapan pada hari perayaan. Setelah saya berkeluarga, kerja-kerja menyurat tinggal begitu sahaja. Kami hantar SMS pada ketika tertentu dan hubungan itu masih lagi tidak terputus sehingga kini.

III

Buku Kembara Sastera ini boleh
didapati dari sini
Hari lahir Li Li yang tahun lalu, saya kirimkan senaskhah "Kembara Sastera Nisah Haron - UK & Dublin". Saya harap dia teruja menerima bingkisan daripada saya. Biasanya, pasti dia akan kirimkan SMS. Paling tidak SMS terima kasih.

Seminggu berlalu. Tiada satu mesej yang singgah ke telefon saya. Tidak mungkin dia tidak ada nombor saya. Bukanlah sikapnya untuk tidak membalas pesanan saya. Apatah lagi hadiah istimewa pada hari yang istimewa itu.

Hampir dua minggu berikutnya, usai makan malam. Li Li menelefon saya mengucapkan terima kasih atas hadiah yang baru diterimanya. Hati saya tertanya-tanya, "Baru terima?" Mungkin dia bertugas di luar negara sewaktu kiriman tersebut sampai, saya menerka. Pertanyaan saya terjawab apabila Li Li menerangkan yang dia sudah berpindah rumah. Alamat rumahnya memang saya cukup hafal kerana sering berutus surat sejak dahulu. Mujurlah rumah itu kini dimiliki oleh sahabat ayah Li Li. Tuan rumah yang baharu itu menerima bungkusan saya untuk Li Li, lalu dipanjangkan kepada ayah sahabat saya.

Oh, saya lega. Seketika saya membayangkan, kalaulah tuan rumah itu tidak kenal akan Li Li dan keluarganya. Entah ke mana pula buku saya itu dicampakkan?

Panggilan telefon itu kembali memesrakan keakraban kami. Dia cukup teruja dengan persembahan buku itu dan dia tidak sabar untuk memulakannya. Namun, kami bukanlah pembaca yang 'rakus'. Kami sama-sama suka 'berlama-lama' ketika membaca supaya dapat menikmati setiap buku yang dibaca. Apatah lagi, jika buku itu sangat menarik. Kami akan berasa 'kehilangan' jika membaca terlalu cepat kerana membaca buku yang sama buat kali kedua sama sekali tidak serupa seperti mana pertama kali membacanya.

Dipendekkan cerita, Li Li berjanji akan memberikan komen apabila selesai membacanya kelak. Saya okey sahaja. Tidak komen pun tidak mengapa. Saya lebih berbahagia kerana dapat menghadiahkan buku sendiri, lebih istimewa lagi, terbitan yang sangat cantik oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Buku ini sudah membawa seribu satu makna kepada saya dan telah mengakrabkan banyak persahabatan saya.

IV

Buku Kembara Sastera ini boleh didapati dari sini
Hari ini, warkah dari Li Li tiba berkajang-kajang. Kandungannya dengan rinci sekali memberi komen dan perasaannya ketika membaca setiap halaman buku "Kembara Sastera". Dia merasakan penat, debar dan kegembiraan yang saya cuba panjangkan kepada pembaca. Saya bahagia apabila pembaca saya bahagia. Apatah lagi, Li Li pernah menjadi inspirasi untuk saya kembara. Barangkali dia sendiri tidak berapa mengingatinya, tetapi saya menyimpan setiap suratnya ke dalam satu fail khas.

Ketika saya mahu mengembara ke Itali dahulu, saya rujuk suratnya kembali kerana Li Li pernah menghantar satu surat yang panjang menceritakan perihal kembaranya ke Eropah bersama-sama sahabat-sahabatnya lama dahulu. Tidak sia-sia saya menyimpannya. Ia menjadi satu daripada rujukan terbaik buat saya.

Kandungan surat kali ini pastilah peribadi sifatnya, namun, izinkan saya berkongsi satu daripada bahagian yang penting dan menyentuh jiwa saya. Kami sahabat berlainan bangsa dan agama yang sentiasa menghormati pendirian masing-masing. Terima kasih, Li Li kerana sudi mengambil masa menulis surat yang panjang ini. Mungkin sudah masanya untuk saya kembali menyurat kepada sahabat saya ini.

Petikan akhir surat daripada Li Li


Ulasan

Tetamu Istimewa berkata…
Assalamualaikum, Puan Nisah. Selamat menyambut Ramadan al Mubarak. Selamat kembali menghidupkan blog ini.

Ya, sememangnya perutusan warkah lebih nostalgik jika hendak dibandingkan dengan medium teknologi baharu kini.
Bunda_nora berkata…
salam ukhwah dan salam ramadhan dari bunda...

Catatan Popular